Pelancaran bahagian Mukah pada 1 Mac 2002 sudah tentu akan menjana pembangunan menyeluruh yang lebih pesat, terancang, tersusun serta seiring dengan kawasan-kawasan lain yang telah membangun di negeri ini. Bahagian baru ini merangkumi empat buah daerah dan empat daerah kecil. Antaranya ialah Daerah Kecil Oya yang diletakkan di bawah pentadbiran Daerah Dalat.
Daerah Kecil Oya yang terkenal dengan ‘Pesta Kaul Oya’ mempunyai keluasan 147.47 km persegi. Ia terletak sejauh 27 km dari Bandar Mukah atau 203 km dari Bandar Sibu.
Sehingga kini, kira-kira seramai 4,732 orang mendiami Daerah Kecil Oya. Daripada jumlah tersebut, 95 peratus terdiri daripada kaum Melanau sementara bakinya terdiri daripada lain-lain kaum.
Bagaimana nama ‘Oya’ wujud? Berdasarkan cerita, suatu ketika dahulu ada orang dari Bintulu yang berhijrah dan berhuma di sebuah kawasan di tepi sungai (sekarang ini Batang Oya). Berhampiran tempat mereka berhuma itu, ada seorang anak dara petani lain yang bernama ‘Yak’.
Disebabkan lokasi mereka berhuma itu agak jauh, penghijrah dari Bintulu itu sering menjerit memanggil nama anak dara itu sebagai ‘Ooo…Yak!’ (Oya). Keadaan ini menyebabkan orang dari seberang sungai selalu mendengar panggilan berkenaan lalu menganggap nama kawasan berkenaan sebagai ‘Oya’ dan ia kekal sehingga ke hari ini.
Pentadbiran
Pejabat Daerah Kecil (PDK) Oya diwujudkan pada tahun 1926 sebagai sebuah daerah penuh. Walau bagaimana pun, operasinya dihentikan pada tahun 1950-an apabila peranannya telah diambil alih oleh Pejabat Daerah Dalat. Ia kemu-diannya dibuka semula pada tahun 1974 dan diberi peranan sebagai Pejabat Daerah Kecil Oya.
Pentadbiran PDK Oya merangkumi sembilan buah kampung iaitu Kg. Kuala Hilir, Kg. Kuala Tengah, Kg. Mudan, Kg. Senau, Kg. Bakong, Kg. Teh, Kg. Terus Kg. Penat dan Kg. Bom.
Antara kampung-kampung di Daerah Kecil Oya, Kg. Kuala Hilir terkenal kerana telah beberapa kali mewakili Bahagian ke Peringkat Negeri untuk bertanding dalam Pertandingan Kampung Indah dan Cantik.
Kampung berkenaan telah pun dua kali berjaya memenangi peringkat bahagian dan melayakkannya memenangi hadiah bernilai RM35 ribu iaitu pada tahun 1998 dan tahun 2001.
Kemenangan ini juga telah membolehkannya mendapat projek-projek pembangunan infrastruktur.
Ekonomi dan Pembangunan
Daerah Kecil Oya yang terkenal dengan makanan sagu dan umai juga merupakan antara penyumbang penting hasil daripada rumbia, kelapa dan kelapa sawit di negeri ini. Maka tidak menghairankan, ramai di kalangan penduduknya bekerja sebagai petani, pekerja estet dan nelayan bagi memanfaatkan kesuburan tanahnya, di samping atas faktor permintaan yang baik untuk produk pertanian berkenaan.
Kerajinan penduduknya juga tidak dinafikan kerana mereka terlibat dengan pelbagai kerja. Umpamanya turun ke laut di sebelah pagi dan bertanam sayur di sebelah petang.
Di sini, ladang rumbianya melibatkan tanah seluas 5,751 hektar yang diusahakan khusus untuk mendapatkan sagu. Ia dikendalikan oleh PELITA (Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah).
Sementara itu, ladang kelapa sawit pula melibatkan kawasan seluas lebih 1,000 hektar di bawah kelolaan FELCRA Berhad.
Antara projek pembangunan yang telah dirancangkan di sini ialah Menaiktaraf Jalan Mukah – Oya (Jalan Pesisir) yang akan dimulakan kerja-kerja pembinaan tahun ini serta projek pembinaan Jambatan Batang Oya yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2003.
Keunikan dan Cerita Rakyat
Terdapat sebuah kawasan di Oya yang dikenali sebagai ‘Pasir Mas’ yang pada suatu ketika dahulu dikatakan mempunyai tanah kuning yang berkilauan keemasan. Disebabkan itu, tempat berkenaan dikenali sebagai ‘Pasir Mas’ sehingga ke hari ini.
Cerita lisan masyarakat di sini juga tidak ketinggalan daripada menceritakan misteri ‘orang bertapa sehingga menjadi batu’ berdekatan dengan Jambatan Sg. Oya. Sekian lama ia dijadikan sebagai tempat orang ‘berniat’.
Daerah Kecil Oya juga terkenal dengan lagenda seorang Tuan Puteri yang cukup cantik sehinggakan ramai lelaki yang meminatinya. Menurut cerita, ibu bapa Tuan Puteri itu tinggal di tebing sebuah sungai, sehinggalah kelahiran Tuan Puteri yang menyebabkan sungai tempat mereka tinggal itu dikenali sebagai ‘Sungai Anak’ sehingga ke hari ini.
Walau bagaimana pun, Tuan Puteri meninggal dunia ketika dewasa kerana terkena sumpahan. Pada hari ini, kubur Tuan Puteri itu dikatakan terletak di tepi Jambatan Sg. Oya yang menghubungkan Jalan Pesisir Oya - Matu Daro. Disebabkan itu, dahulunya sebelum Pesta Kaul Oya diadakan, orang ramai akan membaca tahlil atau doa di kubur Tuan Puteri berkenaan.
No comments:
Post a Comment